Tuesday 3 September 2013

MOTIVASI DARI SEBUAH KISAH

Saya memahami, berbicara itu mudah tetapi mahu melakukan itu tidak semudah bicara dan tulisan. Kerana itu perlu kepada kisah-kisah yang dapat menguatkan hati. Yang bisa meneguhkan keazaman dalam diri untuk menjadi lebih baik.
Pasti dan sudah tentu pernah mendengar kisah seorang pelacur perempuan. Yang kiranya dipandang manusia begitu kotor dan jijik pada masa kini sehingga melahirkan anak di luar perkahwinan yang sah. Walaupun mereka itu kini telah menyesal dan ingin berubah tetapi tetap dipandang serong. Tiada sokongan dan semangat yang ditiup tika mereka lemah. Kerana terusan dihantui dosa-dosa lalu.
Dengarkan kisah ini yang ingin saya putar kembali. Kembali kepada kisah pelacur perempuan. Yang berzina. Tetapi dimasukkan ke dalam syurga oleh Allah hanya kerana memberi minum kepada seekor anjing. Tidakkah rahmat Allah itu luas? Kerana itu berhenti menghukum manusia. Walau kotor pada pandangan manusia, kita tiada pernah mengetahui apakah pandangan-Nya.
Lihat diri sendiri dan nilai. Diri sendiri juga belum tentu baik. Diri sendiri juga belum tentu dipandang-Nya. Walaupun kita melakukan kerja dakwah, walaupun diri itu sentiasa memberi tazkirah, walaupun diri itu aktif dalam program keagamaan.
Saya suka untuk kembali mengingatkan kepada niat. Lagi sekali, lihat dan nilai. Itu semua tidak bermakna jika hati terdetik riak dan melakukan kerana ingin dipandang hebat oleh manusia. Kerana ingin supaya manusia memandang tinggi. Kerana ingin manusia memandang diri itu bagus, baik, soleh dan solehah. Tika itu, tanya diri sendiri, di mana niatmu yang kau katakan kerana Allah?
Lagi saya bawakan kisah yang cukup sering didengari. Kisah pembunuh yang telah membunuh 99 orang. Lihat usaha dan kehendaknya yang ingin bertaubat. Pembunuhannya mencukupi 100 orang apabila membunuh seorang alim yang mengatakan bahawa dia telah tiada harapan.
Namun, tidak pernah cuba untuk berputus asa. Mengikut nasihat seorang alim yang lain yang mengatakan bahawa perlu penghijrahan ke satu perkampungan yang suasananya bisa membantunya bertaubat. Namun,di pertengahan jalan, dia meninggalkan dunia tanpa sempat bertaubat. Tetapi dalam keadaan sedang usaha bertaubat. Dan dia dimasukkan ke dalam syurga.

No comments:

Post a Comment