Friday 27 March 2015

Ujian,ada penyelesaian dalam sesalan.

TINDAKAN ANDA KETIKA MENGHADAPI UJIAN HIDUP?

BUNUH DIRI ATAU SOLAT TAUBAT?

MENANGIS dan MERAUNG ATAU BERDOA?

Menangis, meraung, marah, mengamuk benda yang selalu dilakukan untuk mengekspresikan rasa di dalam hati. Tapi percayalah, air mata yang jatuh di atas sejadah itu lebih baik dari air mata yang jatuh di atas bantal. Mendiamkan diri itu lebih baik dari memaki hamun. Tersenyum itu lebih baik dari muka yang masam mencuka. Kerana itu lebih mententeramkan jiwa yang sedang bergelora.

Janganlah cepat berputus asa dalam meniti ujian yang mendatang. Janganlah mencari salah siapa atas dugaan yang menimpa. Redhakan lah diri. Lapangkan hati. Bukakan lah minda. Terima ketentuan setiap yang terjadi. Yakinlah dengan setiap hikmah yang ada. Kukuhkan lah kesabaran dalam jiwa.

“Janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa. Sesungguhnya dialah yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani..”
(Az-Zumar 40:53)

Teringat satu ketika dulu, pabila diri dihimpit dengan rasa sedih yang teramat sangat, waktu itu hanya air mata jadi peneman yang setia. Tak berhenti-henti tangis dari pagi sampai malam. Sehingga menyebabkan mata tak dapat dilelapkan, makanan tak dapat ditelan.

Tiba-tiba hati tergerak dan terasa ingin mengambil wuduk. Lalu langkah kaki diatur menuju ke surau yang berdekatan. Surau yang jarang di imarahkan. Surau yang sunyi sepi tanpa ada seorang manusia pun di dalamnya. Sejadah dibentang. Lalu solat sunat dilaksanakan. Tangan ditadahkan. Segalanya diadukan kepada-Nya. Hati diserahkan 100% dan dihadapkan kepada-Nya.

Air mata tumpah sekali lagi. Dan air mata itu berhenti tatkala tertidur di atas sejadah itu dengan diri yang masih lengkap bertelekung. Bila terjaga dari tidur, hati terasa lapang, tenang, kegelisahan yang melanda hilang begitu sahaja. Bibir sudah mampu mengukirkan senyuman. Keputusan terhadap permasalahan diambil dengan mudah dan tegas tanpa ada apa-apa yang mampu mengugat keyakinan diri lagi. Tatkala itu hidayah mula datang mengusik hati nurani. Diri mula sedar akan hakikat kata-kata yang sering didengar..

“Dengan mengingati Allah, jiwa pasti akan menjadi tenang”

Dugaan dan ujian itu adalah penyeri kehidupan kita. Itulah hakikatnya. Tersenyumlah ketika dirimu diuji. Kerana ketahuilah, dengan diuji, kita tahu bahawa Allah masih mengambil berat tentang kita. Tak mengabaikan kita dan menyayangi kita. Lalu kita diuji untuk Dia mengetahui tahap keimanan diri kita terhadap-Nya. Untuk Dia ketahui tahap kita mencintai-Nya. Ujian jua untuk menguji kesabaran kita dalam menghadapi musibah yang menimpa.

Tanpa ada ujian, tiadalah serinya hidup kita. Terasa pudar dan hambar tanpa ada sebarang cabaran untuk kita hadapi. Kegembiraan itu hanya dapat dirasai apabila kesedihan berlalu. Bahagia itu datang pabila derita dapat diatasi. Dugaan dan ujian ini juga untuk mengajar kita supaya berfikir dan menjadi lebih kuat dan tabah dalam menjalani kehidupan harian di dunia ini.

Betapa halus cara Allah mendidik kita agar kita tak terleka dalam menghadapi dunia yang fana ini. Carilah hikmah yang tersembunyi di sebalik setiap kejadian kerana yakinlah dugaan yang datang bukan untuk menghukum tetapi untuk membimbing diri kita. Jadi jelaslah sekarang cara yang paling sesuai ketika menghadapi dugaan hidup adalah menyerahkan hatimu kepada Allah. Mohonlah perlindungan dan bantuan-Nya. Kerana Allah itu Maha Mendengar dan Maha Mengetahui segala yang tersirat di dalam nuranimu. Allah jua yang mampu menbantu kita kerana Allah itu Maha Berkuasa.


No comments:

Post a Comment